Akibat teruk dibelasah, salah seorang daripada suspek cedera parah sebelum kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dua lelaki itu sebelum ini diintip dan dijejaki penduduk kampung kerana disyaki kerap terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal milik penduduk kampung berkenaan dan kampung sekitar.

Berikutan itu, kedua-dua suspek telah ‘diumpan’ sebelum diberkas di kampung berkenaan dalam kejadian selepas solat isyak malam tadi.

Sebelum kejadian, beberapa ‘pertemuan’ telah diatur malam tadi antara beberapa penduduk dengan suspek bermula di Kampung Durian Burung seterusnya ke Kampung Wakaf Beruas yang kemudiannya bersetuju ‘berurusan’ di Kampung Binjai Berambu.

Difahamkan, setiba di kampung berkenaan, kedua-dua pemuda ter­babit berjaya diumpan sebelum mereka dikepung sekumpulan penduduk kampung di situ dan dibelasah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar ketika dihubungi petang ini mengesahkan ada tangkapan dilakukan membabitkan dua lelaki tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya namun menambah, seorang daripada suspek ditahan reman bermula hari ini untuk siasatan lanjut manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di hospital. -Utusan Online