Ketidakhadiran 10 Ketua UMNO Bahagian di Kedah pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di ibu negara semalam menunjukkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semakin kehilangan pengaruh dalam UMNO Kedah.
Keengganan 10 Ketua UMNO Bahagian Kedah menghadiri mesyuarat itu juga merupakan satu tamparan kepada kredibiliti kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Ia juga berkemungkinan petanda paling jelas betapa tempoh beliau sebagai Menteri Besar dan pemimpin nombor satu UMNO Kedah semakin menghampiri titik noktahnya, menepati spekulasi dan khabar angin yang bertiup kencang akhir-akhir ini.
Bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin, apa yang berlaku semalam boleh disimpulkan dengan lebih tepat sebagai 'undi tidak percaya' oleh kepimpinan UMNO Kedah terhadap Mukhriz.
"Ia (ketidakhadiran Ketua UMNO Bahagian Kedah) macam undi tak percaya pada Mukhriz," katanya dan menambah, ia hanya akan memburukkan lagi krisis kepimpinan yang sedang berlaku di Kedah.
Ahmad merupakan pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Mukhriz di Kedah dan telah beberapa kali meminta anak bekas Perdana Menteri keempat itu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.
Bekas setiausaha Barisan Nasional Negeri serta bekas exco itu adalah pemimpin yang mahukan Mukhriz meletakkan jawatan berikutan kegagalannya menyokong secara terbuka kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah semalam itu, lima Ketua Umno Bahagian di Kedah yang hadir adalah Mukhriz (Jerlun), Datuk Abdullah Hashnan (Kuala Kedah), Datuk Paduka Rozai Shafian (Pendang), Said Ali Said Rastan (Pokok Sena) dan Datuk Tajul Urus Mat Zain (Merbok).
Rozai juga merupakan Speaker DUN Kedah, manakala Tajul Urus merupakan anggota exco kerajaan negeri.
Antara nama-nama besar yang tidak hadir dalam mesyuarat semalam itu termasuk Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar), Datuk Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Johari Baharom (Kubang Pasu), dan Datuk Jamil Khir Baharom (Jerai).
UMNO Negeri Kedah mempunyai 15 bahagian. - MalaysiaGazette
0 Response to "Kalau macam ni.. Tak lama dah la Mukhriz ni.."
Post a Comment