NGERI !! Bayi 15 Bulan Putus Tangan Tersepit Eskalator di KL Sentral

Bayi
NGERI !! Bayi 15 Bulan Putus Tangan Tersepit Eskalator di KL Sentral

Kuala Lumpur – Doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil masa hampir 10 jam untuk menyambungkan semula tangan kanak-kanak berusia 15 bulan yang terputus akibat tersepit di eskalator kelmarin.

Bapa bayi itu yang hanya dikenali sebagai Freedy, 30-an, berkata, pihak hospital bagaimanapun memberitahu keadaan tangan kanan anaknya perlu dipantau dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi melihat sama ada pembedahan dilakukan berjaya memulihkan semula fungsi tangan anaknya itu.

Dia berkata, anak bongsu dari empat beradik itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL dan dipantau rapi.


“Setakat ini anak saya diletakkan dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk mengelakkan dia bergerak kerana dikhuatiri menjejaskan proses penyembuhan tangannya semula.

“Doktor memberitahu peluang untuk tangannya sembuh dan berfungsi seperti normal adalah 50 peratus. Kami sekeluarga mendoakan segala yang terbaik untuknya,” katanya ketika ditemui di Bahagian ICU, HKL semalam.

Menurutnya, doktor akan melihat semula keadaan tangan anaknya sebelum rawatan fasa seterusnya dapat diberikan dalam tempoh seminggu selepas ini.

Katanya, kejadian berlaku ketika mereka baru pulang dari kampung dan sedang menunggu pertukaran tren di KL Sentral untuk pulang ke rumah.

“Kami sedih dengan apa yang berlaku tetapi kami bukan leka atau abaikan anak kami,” katanya, semalam.

Dalam insiden jam 6.30 pagi kelmarin, mangsa putus pergelangan tangan kanannya akibat tersepit pada tangga eskalator di KL Sentral.

Kanak-kanak itu, Mohd Afkar Daniel Freedy terpaksa dikejarkan ke HKL dengan dibantu anggota polis bantuan yang berada di lokasi kejadian.

0 Response to "NGERI !! Bayi 15 Bulan Putus Tangan Tersepit Eskalator di KL Sentral"

Post a Comment