3 Korban Lumba Haram...

Tiga maut termasuk dua pelajar berusia 18 dan 19 tahun dipercayai akibat lumba haram dalam kejadian di Kilometer 283.6 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Simpang Pulai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Azwandi Riffen, 26, dari Sungai Siput; Muhamad Nursyafiq Sham, 19, pelajar kolej berasal Malim Nawar dan Syed Muhammad Aiman Syed Hassandi, 18, pelajar Giat Mara dari Sungai Siput.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kemalangan itu dan sebaik tiba di lokasi kejadian tiga lelaki berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal berdasarkan keterangan beberapa saksi kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram bersama puluhan mat rempit lain dan punca kejadian dipercayai akibat mangsa berlanggar sesama sendiri membabitkan tiga motosikal yang mereka tunggangi.

"Bagaimanapun, polis hanya menemui dua motosikal jenis Yamaha 125Z di tempat kejadian, manakala sebuah lagi dipercayai dilarikan oleh rakan mangsa.

"Kumpulan mat rempit berkenaan dipercayai berlumba dari kawasan Ampang, di sini hingga ke Simpang Pulai sebelum terbabit kemalangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pagi tadi.

"Polis ingin menasihatkan kepada golonggan muda terutama pelajar agar tidak membabitkan diri dalam kegiatan lumba haram dan kami akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan tidak berfaedah serta membahayakan keselamatan ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - HM

0 Response to "3 Korban Lumba Haram..."

Post a Comment