Bimbang Akidah Anak...Ibu Muda Ini Rayu... Selamatkan Anakku !!
JOHOR BARU, 26 September: Seorang wanita yang baru bercerai, merayu pihak berkuasa menyelamatkan dua anaknya yang dipercayai dalam jagaan bekas suaminya.
JOHOR BARU, 26 September: Seorang wanita yang baru bercerai, merayu pihak berkuasa menyelamatkan dua anaknya yang dipercayai dalam jagaan bekas suaminya.
Norbaizura Idris sedih, kerana sebagai seorang ibu, beliau tidak tahu di mana dua anaknya yang berusia lima bulan dan dua tahun berada, serta bimbang cara mereka dididik, memandangkan bekas mertuanya bukan beragama Islam.
“Sudah lima bulan berlalu dan saya bimbang tentang akidah dan keadaan mereka.
“Saya tidak tahu jika anak-anak saya selamat, kerana saya tidak tahu siapa yang menjaga mereka,” kata guru sekolah menengah berusia 30 tahun itu, ketika ditemui The Rakyat Post, baru-baru ini.
Norbaizura berkata, beliau tidak tahu apa yang patut dilakukannya, kerana Mahkamah Syariah Johor Baru sudah memberi hak penjagaan sementara kepadanya, pada 5 Mei lalu, manakala Mahkamah Tinggi Syariah Johor Baru pula memberikan hak hadanah kekal kepadanya, pada 17 Ogos lalu.
Bekas suaminya berusia 29 tahun dan merupakan seorang mualaf yang tidak mematuhi keputusan mahkamah itu.
Tambahnya, beliau telah membuat beberapa laporan polis di Balai Polis Majidee, Johor Baru.
Norbaizura yang berasal dari Sarawak dan kini tinggal di Permas Jaya berkata, beliau juga telah menulis beberapa surat rayuan kepada Jabatan Agama Islam Johor, Kerajaan Negeri Johor dan juga pejabat Menteri Besar Johor, untuk mendapatkan bantuan.
Norbaizura menjelaskan, dua anak perempuannya itu dilarikan keluarga bekas suaminya, kira-kira enam hari selepas beliau melahirkan anak keduanya pada 23 April lalu, di rumah keluarga mereka di Bukit Chagar.
Katanya, pada mulanya, beliau dibenarkan berjumpa anak-anaknya, tetapi dilarang membawa mereka keluar atau menyusu anak keduanya yang baru lahir.
“Selepas seketika, kedua-dua anak perempuan saya tidak lagi tinggal di rumah mertua saya,” katanya sambil menambah, beliau gagal mengesan anak-anaknya dan bekas mertuanya, sejak 27 April lalu.
Jelasnya, peguamnya telah cuba sedaya upaya untuk melaksanakan arahan mahkamah syariah, namun gagal.
Beliau berkata, bekas bapa mertuanya adalah seorang sarjan polis yang berkhidmat dengan pasukan polis daerah Johor Baru Selatan, tetapi tidak bekerjasama dalam membantu menyelesaikan kes itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh mengesahkan polis telah meneliti laporan yang dibuat Norbaizura.
“Siasatan masih dijalankan dan saya gesa semua pihak supaya bersabar,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sulaiman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai krisis domestik dan berharap ia dapat diselesaikan dengan baik antara pihak terbabit.
0 Response to "Bimbang Akidah Anak...Ibu Muda Ini Rayu... Selamatkan Anakku !!"
Post a Comment