Firdaus panggil saya 'ma... ma...'. Tak sangka itu panggilan terakhir dia,"

“Terngiang-ngiang suara Firdaus panggil saya 'ma... ma...'. Tak sangka itu panggilan terakhir dia," kata Lolanopita Sadi, 41, ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU), Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang meninggal dunia kelmarin.


Lolanopita berkata, sejak Firdaus tinggal di rumah kebajikan Taman Sinar Harapan, dia menjenguk anaknya sekurang-kurangnya seminggu sekali dan kali terakhir pada 3 Oktober lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana Firdaus dijaga dengan sangat sempurna di rumah kebajikan itu memandangkan dia tidak mampu menjaga anaknya itu atas pelbagai faktor.

“Kalau saya datang jumpa dia, dari jauh lagi badan dia melonjak-lonjak. Saya akan cepat-cepat datang peluk dia,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Masjid Negeri, semalam.

Lolanopita berkata, antara makanan kegemaran Firdaus adalah roti berinti.

“Roti berinti makanan kegemaran Firdaus. Setiap kali saya datang jumpa dia, pasti saya bawa roti dan beberapa makanan lain untuk dia makan. Semua jenis roti berinti dia suka, kecuali roti kosong,” katanya.

Pengetua Taman Sinar Harapan, Nurkhairyani Awang berkata, Firdaus bukan saja seorang yang manja, malah mudah diuruskan dan berkelakuan sangat baik.

Sementara itu, laporan bedah siasat terhadap Muhammad Firdaus yang meninggal dunia kelmarin, menunjukkan kematiannya disebabkan tersedak makanan.

Pengarah Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Dr Ariffin Mohammad berkata, hasil bedah siasat juga mendapati Firdaus tersedak makanan akibat diserang sawan sebelum meninggal dunia.

Dr Ariffin bagaimanapun enggan mendedahkan jenis makanan yang dimakan Allahyarham sehinggalah keputusan makmal diperolehi.

“Kita akan menghantar sampel makanan ke Jabatan Kimia untuk mengetahui jenis makanan itu.

“Keputusan laporan mengenainya diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zulkefli Ramli pula berkata, tabung amanah yang ditubuhkan atas nama Allahyarham Firdaus setahun lalu akan dibincangkan selepas selesai semua urusan termasuk kenduri tahlil yang akan diadakan di Taman Sinar Harapan.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada peguam berhubung perkara tersebut sebelum tindakan susulan diambil.

Jenazah Allahyarham Firdaus selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, kira-kira jam 2 petang semalam.

Sebelum itu, jenazah Firdaus disolatkan di Masjid Negeri selepas solat Zuhur yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

SH

Related Posts :

0 Response to "Firdaus panggil saya 'ma... ma...'. Tak sangka itu panggilan terakhir dia,""

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect