Sayu : Kisah sebenar bayi comei perlu keluarga angkat selepas kematian ibu


Pasir Mas : “Saya tetap akan besarkan anak bongsu, Muhammad Syakir Aiman walaupun baru sahaja kehilangan isteri tercinta," kata Ibrahim Kassim, 52, dari Kampung Bechah Palas Hulu, Bunut Susu, itu.

Kenyataan itu dibuat berikutan viral di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp menyatakan bapa sembilan anak ini mahu menyerahkan anak bongsunya yang baru berusia sebulan disebabkan berdepan kesempitan hidup.

Ibrahim berkata, disebabkan viral tersebut, dia terpaksa menjawab beratus panggilan telefon sehari dan menerima kunjungan penduduk setempat serta orang luar yang bertanyakan perkara tersebut.

“Maklumat yang disebarkan menerusi media sosial tersebut tidak benar. Saya sama sekali tidak akan serahkan Muhammad Syakir Aiman kepada orang lain untuk dibesarkan.

“Lagipun kudrat saya masih lagi kuat untuk membesarkan semua anak termasuklah Muhammad Syakir Aiman walaupun pendapatan sebagai tukang rumah tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, dia berharap dengan penjelasan itu dapat merungkaikan semua kekeliruan yang timbul berhubung sebaran mesej menerusi media sosial tersebut.

Ibrahim berkata, Muhammad Syakir Aiman kini dijaga sepenuhnya oleh ibu mertuanya, Selamah Daud, 66, sambil dibantu oleh anaknya yang lain.

Kisah Ibrahim yang mahu menyerahkan anak bongsunya itu menjadi viral apabila ia dikongsi oleh pengguna Facebook dan WhatsApp yang simpati dengan nasib keluarga berkenaan.

Hasil perkongsian hidup Ibrahim bersama isteri, Siti Sabariah Yusof, 43, dia kurniakan sembilan anak berusia 21 tahun hingga 1 bulan.

Anak sulungnya, Sabri Mizan, 21, menuntut di politeknik; Nur Shahila, 19, (Universiti Sains Islam Malaysia); Shahirullah, 18, (lepasan Sijil Pelajaran Malaysia); Nur Syafika, 15 (Mahaad Muhammadi Pasir Mas); Muhammad Shahril, 12; Muhammad Shahir, 9 (SK Bunut Susu); Muhammad Safuan, 6; Muhammad Safi Asraf, 2; dan Muhammad Syakir Aiman.

Ibrahim bagaimanapun kehilangan isterinya selepas 23 hari melahirkan Muhammad Syakir Aiman. Siti Sabariah meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi dan sukar untuk bernafas. -SINAR

0 Response to "Sayu : Kisah sebenar bayi comei perlu keluarga angkat selepas kematian ibu"

Post a Comment