Sayu...Gambar terakhir sebelum lemas..

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Irama di sini, hari ini.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff berkata Muhammad Azwan Arif Azmi dari Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kota Baharu, hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di pantai itu pada jam 10.30 pagi.

"Mangsa dipercayai dihanyutkan ombak besar ke sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seramai 21 anggota mencari dan menyelamat (SAR) seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang melancarkan gerakan mencari mangsa.

Muhammad Khairu berkata operasi mencari mangsa agak sukar disebabkan ombak besar dan angin kencang.

Sementara itu, bapa mangsa Azmi Mohammad, 54, berkata anak kedua daripada empat beradik itu meminta izin untuk mandi di pantai berkenaan.

“Dia kata nak datang mandi pantai sekali ni sahaja. Jadi saya benarkan dia pergi," katanya yang mengetahui kejadian menimpa anaknya ketika sedang memasak bubur asyura bersama penduduk kampung.

Seorang jiran mangsa yang sama-sama mandi di pantai itu, Muhammad Muaz Yusof, 19, berkata sebaik tiba di pantai pada jam 8 pagi, mereka terus mandi dan selepas beberapa jam kemudian mereka naik ke darat untuk bergambar sambil menunggu pakaian kering sebelum pulang ke rumah dan mereka sempat merakam gambar mangsa.

“Ketika itu mangsa turun semula untuk mandi bersama seorang rakannya, Muhammad Adam Haikal Yusof, 9. Muhammad Adam hampir lemas tetapi saya sempat menariknya ke darat tetapi Muhammad Azwan sudah tiada," katanya. - Bernama

0 Response to "Sayu...Gambar terakhir sebelum lemas.."

Post a Comment