Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini mengarahkan pentadbiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah di sini menyiasat guru pengiring yang menyuruh pelajarnya membaca Yasin di tepi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) semalam.
Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya juga akan memanggil guru terbabit dalam masa terdekat untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara itu.
"Mereka sepatutnya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana program seperti itu boleh membahayakan keselamatan mereka. Sepatutnya program sebegitu dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran kerana ia lebih selamat dan selesa," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, sumber sekolah berkenaan berkata, bacaan Yasin itu tiada dalam senarai program lawatan sambil belajar ke Kemaman yang disertai 35 pelajar dan tiga guru pengiring itu.
"Pelajar dan guru terbabit sebelum itu mengadakan lawatan sambil belajar ke Kemaman selepas tamat peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) dan dalam perjalanan pulang, guru terbabit mendapat idea dan menyuruh pemandu bas berhenti di tepi jalan untuk membolehkan mereka membaca yasin," katanya. -HM
0 Response to "Siasat pelajar solat Hajat dan baca Yasin ditepi Lebuhraya LPT2"
Post a Comment