BATU PAHAT - Kerana terpedaya dengan pujuk rayu kenalan WeChat, seorang remaja perempuan berumur 13 tahun telah menjadi mangsa kerakusan empat lelaki berusia 14 hingga 15 tahun yang baru dikenalinya seminggu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, di sebuah pondok di kebun kelapa sawit, di Kampung Manong, Ayer Hitam itu, polis berjaya menahan dua daripada empat suspek.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, sebelum kejadian, mangsa meminta izin ibunya keluar dari rumah di Parit Raja untuk mengadakan ulang kaji berkumpulan dengan rakan sekelas.
Bagaimanapun, katanya, mangsa sebenarnya telah berjanji dengan salah seorang suspek untuk keluar makan bersama, sebelum bertemu dengan tiga lagi suspek di hadapan sebuah restoran makanan segera di Ayer Hitam.
“Mangsa dipaksa untuk mengikut suspek dan kemudiannya dibawa ke sebuah kebun kelapa sawit, di Ayer Hitam.
“Salah seorang daripada suspek terus merogol mangsa, namun ketika perbuatan itu berlaku, mereka telah diserbu penduduk kampung.
“Menyedari perbuatan mereka diketahui penduduk kampung, suspek dan mangsa bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap,” katanya.
Menurut Abdul Wahib, mangsa yang ketakutan telah bertindak menyembunyikan diri di belakang sebatang pokok sebelum dijumpai penduduk kampung, yang kemudian menghubungi ayahnya.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ayer Hitam.
Susulan laporan dibuat, polis telah merampas dua motosikal yang ditinggalkan di lokasi kejadian, manakala sebuah motosikal lagi berjaya dilarikan suspek.
“Dua daripada empat suspek berjaya ditahan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.