Ibu Teringin Nasi Lemak Anak Dara, Zizan Sanggup Merempit Ke Shah Alam


Ibu Teringin Nasi Lemak Anak Dara Zizan Sanggup Merempit Ke Shah Alam

Demi memenuhi permintaan ibunya, pelawak Zizan Razak sanggup merempit dari Subang ke Shah Alam untuk mencari Nasi Lemak Anak dara yang sedang viral.

Zizan ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak kisah untuk melakukan apa sahaja demi ibunya walaupun ia cuma sebungkus nasi lemak.

“Demi ibu, saya sanggup lakukan apa sahaja. Walaupun ia cuma sebungkus nasi lemak, perkara tersebut bukan perkara remeh bagi saya.

“Saya keluar rumah seawal jam 7.30 pagi dan merempit dari Subang ke Shah Alam untuk mendapatkan Nasi Lemak Anak Dara, demi Ibu yang saya kasihi.

“Sebenarnya dari semalam saya cuba hubungi Siti Hajjar (peniaga Nasi Lemak Anak Dara), untuk mendapatkan nasi lemak tetapi hari ini baru boleh dapat sebab dia baru buka gerainya pagi tadi,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Zizan, dia terkejut apabila melihat pelanggan yang berbaris untuk mendapatkan Nasi Lemak Anak Dara yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

“Ya, saya tengok sendiri, memang betul ramai pelanggan lelaki yang berbaris. Saya puji semangat Siti Hajjar yang gigih mencari pendapatan sendiri untuk menyara hidupnya.

“Kalau Ibu tak beri saya nombor telefon Nasi Lemak Anak Dara, mungkin saya tak nampak kegigihan dia (Siti Hajjar), berniaga seorang diri.

“Baguslah, jarang kita nampak anak muda sekarang yang mahu berniaga nasi lemak. Kepada Siti Hajjar, pekakkan telinga dengan kata-kata negatif orang.

“Rezeki kita Allah yang bagi, dengan usaha gigih yang ditonjolkan semoga perniagaan Siti Hajjar lebih maju pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, Zizan telah memuatnaik fotonya di gerai Nasi Lemak Anak Dara yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam kira-kira jam 8 pagi tadi.




0 Response to "Ibu Teringin Nasi Lemak Anak Dara, Zizan Sanggup Merempit Ke Shah Alam "

Post a Comment