Bakar, tanam dan buang ke dalam sungai...

Tapah: Polis tahan empat sekeluarga dipercayai terbabit dalam kes bunuh sekurang-kurangnya empat mangsa dengan cara membakar, menanam dan membuang tulang dan abu mayat mangsa ke dalam sungai dalam kejadian di bengkel bas di Jalan Pahang berhampiran Plaza Tol Tapah, di sini.



Difahamkan, jenayah kejam itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan polis berdasarkan laporan polis dibuat oleh ahli keluarga seorang daripada mangsa hingga suspek berjaya diberkas pada 26 Oktober lalu.

Suspek utama yang juga pemilik bengkel berkenaan ditahan di rumahnya yang juga dikawasan bengkel terbabit bersama isteri serta dua anaknya dan direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah.

Keempat-empat suspek berkenaan juga disambung reman pada hari ini oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak selama empat hari lagi bagi membantu siasatan polis.

Menurut sumber, seorang daripada mangsa adalah ejen hartanah berusia 46 tahun berasal dari Chenderiang, dekat sini pada hujung Ogos lalu.

"Semua mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dipukul sebelum dibakar di atas zink dan kemudian serpihan tulang serta abu dibuang ke dalam sungai berhampiran.

"Ejen hartanah itu dipercayai dibunuh dan ditanam di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 5, Jalan Pahang, kira-kira 10 kilometer dari bengkel suspek.

"Berpandukan soal siasat terhadap suspek polis kemudian menemui beberapa serpihan tulang dipercayai milik mangsa lain yang dibuang ke dalam sungai," katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan di bengkel berkenaan hari ini mendapati polis sudah selesai menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit.

Kawasan bengkel berkenaan dipenuhi dengan kira-kira 30 ekor anjing dipercayai milik suspek dan difahamkan rumah dan bengkel berkenaan disewa oleh suspek daripada seorang penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati terdapat pelbagai motif pembunuhan dan siasatan lanjut sedang dijalankan dan sidang media mengenai kes itu akan dibuat oleh Polis Perak pada hari ini.

0 Response to "Bakar, tanam dan buang ke dalam sungai..."

Post a Comment