Sayu : Adik Indra maut tragis dalam lubang najis tak sempat sambut ulang tahun kelahirannya

Kota Tinggi : Seorang kanak-kanak lelaki di Felda Simpang Waha dekat sini, tidak sempat meraikan ulang tahun kelahirannya yang ketiga pada 4 November ini kerana dipercayai lemas akibat terjatuh ke dalam lubang najis di rumah datuknya, semalam. 

Kejadian kira-kira pu­kul 4 petang yang me­nimpa Muhammad Indra Hakimi Jalaludin itu disedari datuk mangsa setelah mendapati kanak-kanak ber­kenaan tiada di dalam rumah.

Ibu bapa mangsa kemudian men­carinya di belakang rumah dan men­dapati lubang najis yang berada di luar telah terbuka, lalu bapa mangsa meraba ke dalam lubang najis ber­kenaan dan men­dapati anaknya berada di situ.
Ketua Polis daerah, Superintenden Rahmat Othman berkata, pasa­ngan berkenaan kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Waha namun disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat. 

“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu di­sebabkan lemas,” katanya. 

Sementara itu, datuknya, Sa­paron Sibun, 65, berkata, sebelum kejadian dia sempat bermain timang-timangan dengan cucunya itu namun kehadiran pelanggan yang mahu menggunting rambut di rumahnya menyebabkan dia terpaksa meninggalkan mangsa. “Kami mencari di dalam rumah namun tidak jumpa Kimi. 

Lepas tu saya teringatkan tentang tempat lubang najis dan segera ke sana lalu mendapati benar dia berada di dalamnya. Ketika itu Kimi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sudah pucat wajahnya.

 “Kami membawanya ke klinik desa dan mereka mengesahkan Kimi sudah tidak bernyawa dan meminta kami menghantarnya ke HKT,” katanya ditemui di HKT di sini. -UTUSAN , KOSMO 

0 Response to "Sayu : Adik Indra maut tragis dalam lubang najis tak sempat sambut ulang tahun kelahirannya"

Post a Comment