Meskipun tidak menyatakan secara terus perasaannya apabila cuba dikaitkan dengan perkahwinan kedua Mohamad Khir, namun nada suara Zaharah ketika dihubungi kedengaran tenang, seperti menggambarkan keadaan dirinya ketika ini pada saat-saat berdepan dengan cabaran dalam rumah tangganya.
“Minta maaflah, saya tiada apa-apa mahu diceritakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Khir, 51, semalam melangsungkan perkahwinan kedua dengan Christine Zanitrah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang dalam satu majlis tertutup.
Christine Zanitrah dilaporkan memeluk agama Islam pada April lepas.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi Mohamad Khir di kediamannya di Seksyen 7, di sini tidak berjaya.
Seorang lelaki dipercayai pekerjanya memaklumkan yang Mohamad Khir sedang berehat dan tidak mahu diganggu.


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo, 51, selamat melangsungkan perkahwinan kedua bersama pasangannya seorang penjawat awam, Christine Zanitrah Abdullah, 39, baru-baru ini.
Beliau berkahwin dengan Christine Zanitrah atau nama asalnya Christine Tan selepas tiga bulan keluar dari Penjara Kajang dan tamat tempoh parol pada Mei lalu.
Christine yang pernah bertugas sebagai wartawan akhbar Utusan Malaysia sekitar dua tahun mengesahkan perkahwinan­nya dengan Mohamad Khir.
Beliau bagai­mana­pun enggan ditemu bual lanjut mengenai kisah cinta dan perkenalan mereka yang membawa ke jenjang pelamin.
Menurut sumber terdekat, Christine Zanitrah telah memeluk agama Islam pada April lepas dan perkahwinan pasangan itu berlangsung dalam satu majlis di dalam negara.
“Perkahwinan kedua Mohamad Khir itu berlangsung di dalam negara. Christine Zanitrah me­rupakan penjawat awam di Putra­jaya,” kata sumber terdekat dengan Mohamad Khir kepada Bernama.
Sumber tersebut turut mengirimkan beberapa keping gambar Christine Zanitrah pada majlis itu yang memakai busana pe­ngantin rekaan pereka terkenal, Datuk Radzuan Radziwill.
Mohamad Khir berkahwin dengan isteri pertamanya, Zaharah Kechik, 51, pada 1990 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Pasangan itu turut mempunyai lima anak angkat.
Mahkamah Persekutuan pada 29 September 2015 mengekalkan hukuman setahun penjara ke atas bekas Menteri Besar Se­langor ke-13 itu selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah dihadapinya.